Tuesday 16 September 2014

Hukuman maut jika ada huru-hara

Pelajar dan rakyat Sabah perlu mencari cara lain untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan dan pelaksanaan undang-undang supaya kedaulatan negara dapat dikekalkan dalam apa situasi sekalipun.

KOTA KINABALU: Mana-mana individu atau entiti yang cuba mempengaruhi orang ramai untuk menyokong tuntutan bagi Sabah meninggalkan Malaysia boleh disiasat di bawah Akta Hasutan, kata Pegawai Koordinasi Perisikan Eastern Sabah Security Command (Esscom), ACP Hashim Justin.

“Jika gesaan itu berjaya dan mewujudkan keadaan huru-hara di negara ini, dalang boleh dikenakan hukuman mati kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.”

Beliau berkata demikian dalam satu forum awam yang dihadiri pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi di Kampus Intan.

“Saya dihantar dalam misi di beberapa kawasan konflik, dan panggilan untuk pemisahan seperti ini belum pernah memberikan hasil yang positif kerana tekanan daripada pelbagai kuasa,” katanya.

“Kes pencerobohan baru-baru ini di Lahad Datu jelas menunjukkan bahawa kita perlu berfikir dengan amat mendalam sebelum membuat sebarang keputusan untuk menyokong gesaan untuk Sabah meninggalkan Malaysia.”

Beliau menyebut mengenai konflik Moro di selatan Filipina sebagai satu lagi contoh di mana rakyat menderita kerana konflik politik kerana tidak pernah berakhir. “Mereka impikan keamanan, tetapi melihat kematian hampir setiap hari kerana konflik. Saya tidak fikir kita mahu mengambil risiko seperti itu,” katanya.

Hashim menggesa para pelajar dan rakyat Sabah untuk mencari cara lain menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan atau pelaksanaan undang-undang supaya kedaulatan negara dapat dikekalkan dalam apa situasi sekalipun.

Beliau berkata, penduduk di kampung ada ketua kampung yang sepatutnya mendengar keperluan mereka, manakala pekerja perkhidmatan awam dan sivil boleh menggunakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebagai platform. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia adalah satu lagi saluran yang betul yang lantang bersuara dalam banyak isu penting.

“Malah pelajar pun ada Majlis Pelajar di setiap kawasan pilihanraya. Kita ada wakil rakyat atau Adun yang boleh menjadi ‘alat’ bagi rakyat untuk menyatakan tuntutan mereka. Memilih orang yang tepat bergantung kepada pilihan rakyat.

“Dengan semua saluran yang betul yang kita ada, kita hanya perlu mengoptimumkan penggunaannya. Mewujudkan huru-hara dan mengancam bukan pilihan terbaik,” katanya.

Forum awam itu dihadiri dua ahli panel yang lain, iaitu, Speaker Dewan Sabah Salleh Said dan pegawai khas daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Jamawi Jaafar.

Moderator forum ialah Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Yunus Saprin.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...