Wednesday 3 September 2014

SSKM: Putrajaya penghasut sebenar

Kerajaan "Malaysia" dipimpin oleh sebuah parti yang mempunyai dominasi besar di Sabah melalui sokongan "Pendatang Tanpa Izin (PTI)" khususnya di Pantai Timur Sabah.

KUCHING: Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) beranggapan bahawa penghasut yang sebenar ialah kerajaan persekutuan.

“Kerajaan “Malaya” yang menyamar menjadi “Malaysia” kini telah mengeluarkan ancaman berbentuk ugutan kepada pejuang-pejuang Bangsa Borneo daripada Negara Sabah dan Negara Sarawak,” ujar jurucakap SSKM, Doris Jones dalam blog SSKM, http://sabahsarawakmerdeka.blogspot.com

Beliau terkilan dengan ancaman kerajaan persekutuan namun tidak terkejut dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan “Malaysia” pimpinan sebuah parti yang mempunyai dominasi besar di Sabah melalui sokongan “Pendatang Tanpa Izin (PTI)” khususnya di Pantai Timur Sabah yang mana kekuatan UMNO-BN lebih kukuh di bahagian ini.

Nama kumpulan “SSKM” digunakan bertujuan untuk melihat sejauh manakah rakyat Sabah dan Sarawak mempunyai sentimen ini, katanya.

“Tujuan SSKM ditubuhkan adalah untuk mendidik bangsa Sabah dan Sarawak mengenai kebenaran yang disembunyikan selama ini dari pengetahuan mereka terutama sekali kepada golongan generasi muda Sabah dan Sarawak.

“Perkongsian ilmu dan maklumat tersebut adalah mengenai sejarah Negara Sabah (dahulunya dikenali sebagai North Borneo) dan Sejarah Negara Sarawak sebelum perang Dunia Pertama, Kedua, Penjajahan British, Kerajaan Dirajah James Brooke, sebelum Pembentukkan Malaysia serta selepas Pembentukkan Malaysia,” beliau menambah.

Menjawab mengenai tuduhan hasutan oleh Persekutuan, Doris berkata perkataan dan tuduhan “hasutan” yang digunakan oleh kerajaan persekutuan yang memerintah sekarang terhadap SSKM adalah satu tuduhan untuk menampakkan SSKM berada ditempat yang salah.

“Pihak kerajaan persekutuan ingin menyembunyikan pengkhianatan mereka dan menampakkan diri mereka sebagai pemimpin-pemimpin yang terbaik sedangkan semua orang tahu siapa diri mereka ini,” katanya.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...