Thursday 4 December 2014

Alasan kekalkan Akta Hasutan satu pembohongan

Pengekalan akta itu sebenarnya bertujuan untuk meneruskan survival politik beliau dalam parti UMNO.

KUALA LUMPUR : PAS mendakwa alasan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terhadap pengekalan Akta Hasutan 1948 semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini merupakan satu pembohongan dan sewajarnya ditolak rakyat.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pengekalan akta itu oleh Perdana Menteri sebenarnya bertujuan untuk meneruskan survival politik beliau dalam parti UMNO.

“Padahal di waktu awal sebelum ini mahu melalui slogan ‘janji ditepati’ akan memansuhkan Akta Hasutan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.

“Oleh kerana penentangan yang besar dalam UMNO, termasuk Timbalan Presiden, Wanita dan Pemuda, akhirnya dia (Najib) terpaksa akur demi kelangsungan kedudukan kepimpinan dia dalam UMNO” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Mahfuz berkata, kandungan dan peruntukan di dalam akta itu telah membuka ruang kepada penguatkuasaan yang selektif dan berat dan berat sebelah atas tujuan politik dan bukan untuk menjaga keamanan negara.

“Hakikat inilah yang gagal difahami oleh UMNO dan Barisan Nasional yang berterusan cuba mengelirukan rakyat kononnya Akta Hasutan inilah yang menjadi benteng terakhir di dalam mempertahankan kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini.

“Ketempangan utama di dalam Akta Hasutan ini ialah apabila di dalam pendakwaan ke atas sebarang kesalahan di bawah akta ini, pihak pendakwa tidak perlu untuk membuktikan niat orang yang dituduh untuk melakukan perbuatan – perbuatan yang menghasut sebagaimana yang disenaraikan di dalam Seksyen 3 dan 4 akta tersebut,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena menambah, ia seterusnya membuka ruang kepada sebarang kritikan atau teguran terhadap institusi dan dasar kerajaan tanpa mengira niat sebenar atau konteks kritikan dibuat akan dianggap mempunyai kecenderungan menghasut.

Katanya, dalam keadaan seperti itu berlakunya banyak pendakwaan dilakukan semata-mata bersandarkan kepada peruntukan dalam akta tersebut.

“Walhal motif sebenar ialah untuk mengekang kebebasan bersuara dan menutup segala ruang kritikan terhadap kelemahan kerajaan,” ujarnya.

Katanya, PAS akan memperhebatkan kempen besar-besaran ke seluruh negara bagi menuntut akta itu dan undang-undang lain yang zalim dan tidak demokratik.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...