Thursday 11 September 2014

Black 16 September!

Kepada semua Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak, 16 September merupakan satu tarikh yang penting dalam sejarah Persekutuan Malaysia kerana melalui tarikh inilah terbentuknya sebuah Kerajaan yang dianggotai oleh Empat Buah Negara yang Merdeka dan Berdaulat iaitu Negara North Borneo (Kini Negara Sabah), Negara Sarawak, Negara Singapura (telah dikeluarkan daripada persekutuan) dan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).

Persekutuan ini telah menjanjikan kelimpahan kekayaan dalam aspek ekonomi kemakmuran melalaui keselamatan kepada negara-negara anggota. Persekutuan ini juga menjanjikan kedudukan yang setaraf dan tiada istilah "kamu rendah dan kami tinggi @ kamu adalah jajahan kami". Dan yang lebih penting lagi, mereka iaitu kerajaan malaya berjanji untuk menghormati dan mematuhi 18 & 20 Perkara, melaksanakan segala janji yang tercatat dalam Perjanjian Malaysia yang telah ditandatangani di Kota London pada 9 Julai 1963

Tetapi lihatlah sekarang... Dimanakah kedudukan kita sebagai sebuah rakan kongsi yang sama taraf dalam Persekutan Malaysia ini. Nama "malaysia" itu sendiri telah dirampas daripada kita yang mana malaya telah menukar identiti dirinya daripada malaya kepada malaysia. Taraf sebagai rakan kongsi kini telah menjadi taraf hamba/tanah jajahan kepada malaya/malaysia. Kini kita dikenali sebagai "negeri ke-12 & ke-13". Perkara yang lebih teruk lagi apabila pemimpin-pemimpin tempatan dengan arahan daripada pemimpin malaya berusaha untuk mengabaikan, menafikan serta mempersendakan 18 & 20 Perkara, Perjanjian Malaysia 1963, Laporan IGC dan Pesuruhjaya Cobbold (Cobbold Commission).

Dengan itu, adakah 16 September ini merupakan tarikh yang boleh dibanggakan kepada kita? Kuasa Kemerdekaan dan Kuasa Kedaulatan serta Kuasa Politik untuk mentadbir Negara kita telah dipegang oleh malaya. Tiada sebarang keputusan dapat dibuat tanpa kebenaran daripada malaya. Kuasa ekonomi Negara kita tidak dapat dinikmati kerana ia dikawal dan hasilnya dikaut ke malaya untuk tujuan pembangunan bangsa malaya. 

Hasilnya, kini malaya telah pesat pembangunannya manakala Negara Sabah dan Negara Sarawak terkapai-kapai untuk membangun bangsa dan negaranya... Lebih menyedihkan lagi negara kita telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai "negeri termiskin" di malaysia dengan pembangunan dalam semua aspek tidak setimpal dengan tahun lamanya bersama dalam persekutuan malaysia ini yang sudah berumur 51 tahun.

Maka dengan itu, bagi pihak SSKM, 16 September itu bukanlah satu tarikh yang boleh dibanggakan sebaliknya adalah tarikh yang seharusnya direnungkan dan hari untuk berkabung kerana ia merupakan tarikh hitam dimana Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak telah terpedaya untuk membentuk persekutuan malaysia yang sebenarnya hanya untuk menguntungkan malaya.

Dengan itu, tarikh ini digelar sebagai "Black 16 September". Sebagai tanda sokongan, sila pakai baju berwarna hitam untuk menunjukkan anda faham sebenar maksud dalam tarikh ini.

Sebarkan mesej ini...

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...