Friday 25 May 2012

SABAH & SARAWAK KEHILANGAN KUASA KEMERDEKAAN? KEHILANGAN TARAF NEGARA?

Past and Present system

Memang benar bahawa Sabah telah mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1963. Justeru, bermula daripada 31 Ogos 1963, Sabah telah wujud sebagai sebuah Negara, iaitu ‘Negara Sabah’. Dan memang benar bahawa sebelum 16 September 1963, Sabah tidak pernah dijajah oleh Malaya.

Namun kesilapan dan penjajahan ke atas Sabah dan Sarawak bermula apabila pemimpin Sabah dan Sarawak ketika itu mengambil keputusan untuk ‘membawa Negara Sabah dan Negara Sarawak’ menyertai rancangan Negara Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Apa yang berlaku selepas 16 September 1963? Hak dan kuasa kemerdekaan Sabah telah hilang sebaik-baik menyertai Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Hal ini berlaku kerana Kerajaan Pusat (Kerajaan Negara Malaya) yang diterajui BN (UMNO) mempunyai agenda yang tidak dijangka dan tidak diketahui rakyat Sabah dan Sarawak, dan telah merancang dan menipu rakyat Sabah dan Sarawak sedemikian rupa, sehingga sekarang Sabah dan Sarawak telah kehilangan kuasa kemerdekaan, kuasa politik dan kuasa ekonomi.

Jelasnya, kini Sabah dan Sarawak telah kehilangan taraf sebagai ‘Negara’. Taraf ‘Negara Sabah’ dan ‘Negara Sarawak’ telah diturunkan/ ditukar kepada taraf ‘Negeri Sabah’ dan ‘Negeri Sarawak’, iaitu sekarang seolah-olah Sabah adalah Negeri Yang Ke-12 dan Sarawak adalah Negeri Yang Ke-13 dalam Malaya! Apa yang rakyat Sabah dan Sarawak tidak tahu, tidak sedar dan tidak faham adalah tentang kewujudan ‘Negara Sabah’ dan ‘Negara Sarawak’. Pada masa kini, kebanyakan pemimpin dan rakyat Sabah dan Sarawak berfikir, Sabah dan Sarawak adalah ‘Negeri Sabah’ dan ‘Negeri Sarawak’ dalam Malaya!

Dalam hal ini, nyata bahawa rakyat Sabah dan Sarawak telah ditipu oleh pemimpin-pemimpin Malaya di Kuala Lumpur! Maklumat tentang sejarah pembentukan negara telah diubahsuai, diedit, dipinda, atau dihilangkan dari pengetahuan rakyat Sabah dan Sarawak, terutama Perjanjian Malaysia 1963, Perjanjian 20 Perkara (Sabah) dan Perjanjian 18 Perkara (Sarawak), melalui penghapusan dan pengharaman atau pengubahsuaian maklumat dalam buku-buku sejarah dan buku-buku teks sekolah.

Kerajaan Pusat juga telah menukar sistem Kerajaan Persekutuan kepada sistem Kerajaan Kesatuan (Unitary State), di mana semua kuasa ‘Negara Sabah’ dan ‘Negara Sarawak’ telah diletakkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negara Malaya.

Konsep dan idealisme ‘Rakan Kongsi Sama Taraf’ telah ditukar kepada konsep dan idealisme ‘Malaya Sapu Rata’ atau ‘Malaya Berkuasa Mutlak’ , dan 3 Negara anggota Malaya yang lain, iaitu Negara Singapura, Negara Sarawak dan Negara Sabah telah diturunkan tarafnya kepada taraf ‘Negeri-Negeri Dalam Malaya’. Dengan kata lain, ‘Negara Sabah’ dan ‘Negara Sarawak’ adalah di bawah kuasa jajahan takluk Malaya!

Sejak 16 September 1963 dan sehingga kini, keadaan Sabah dan Sarawak semakin parah! Sabah dan Sarawak telah kehilangan kuasa politik, kuasa ekonomi dan kuasa kemerdekaan! Sabah dan Sarawak adalah antara dua wilayah yang sebenarnya kaya dengan sumber ekonomi dan sumber manusia. Tetapi selepas 49 tahun, Sabah dan Sarawak masih hidup dalam keadaan kedaifan, kemiskinan dan kemunduran serta keperitan!

Persoalannya, apakah aspirasi dan apakah yang harus dilakukan oleh rakyat Sabah dan Sarawak ketika ini? Bagaimana keadaan Sabah dan Sarawak yang kita inginkan? Ke mana arah dan hala tuju kita? Anda seorang yang ada jati diri, maruah dan nasionalisme, anda pasti ada jawapannya!

Courtesy from fellow Borneon :  Oswald Alphonsus Dominic Lajawa on Friday, 25 May 2012 at 04:38 ·

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...