Monday 15 September 2014

Sarawak halang parti semenanjung

Ketua Menteri setuju agar resolusi berkenaan dikeluarkan, tetapi larangan perlu membabitkan semua parti politik berasal dari semenanjung termasuk parti pembangkang.

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak bertekad tidak akan membenarkan mana-mana parti politik berasal dari semenanjung bertapak di negara ini.

Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem berkata segala urusan dan pentadbiran negeri ini mampu digalas oleh parti komponen BN sedia ada tanpa perlu campurtangan parti politik lain dari semenanjung.

“Kita tidak mahu mana-mana parti yang berasal dari semenanjung sama ada parti pembangkang seperti PKR, DAP dan PAS mahupun UMNO masuk ke Sarawak.

“Kita bukan tidak sukakan UMNO tetapi peranan dan tanggungjawab UMNO sudah dilaksanakan dengan jayanya oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak. PBB sedar akan tanggungjawab dan peranan penting dalam urusan pentadbiran negeri ini,” katanya.

Adenan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Negeri Sarawak anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak di sini, kelmarin.

DAP cabar keluar resolusi halang UMNO ke Sarawak

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen pernah mencabar Timbalan Presiden PBB Abang Johari untuk mengeluarkan resolusi menghalang kemasukan UMNO ke Sarawak pada persidangan DUN Sarawak baru-baru ini.

Mengulas perkara itu Adenan setuju agar resolusi berkenaan dikeluarkan, tetapi larangan perlu membabitkan semua parti politik berasal dari semenanjung termasuk parti pembangkang.

“Dengan resolusi ini, maka PAS, DAP dan PKR juga patut dihalang daripada memasuki Sarawak. Ini adalah pengajaran bagi pembangkang kerana jika mereka ‘pukul’ PBB (BN) sekali, kita balas dengan tiga kali pukulan,” jelasnya.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...