Friday, 17 October 2014

Keselamatan Sabah terjejas jika keluar Malaysia

SEMPORNA - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sekali lagi meminta rakyat Sabah dan Sarawak supaya tidak terpengaruh dengan pihak yang mahukan kedua-dua negeri itu keluar daripada Persekutuan Malaysia.
   
Beliau berkata rakyat Sabah dan Sarawak perlu berfikir dengan mendalam kesan perkara itu, sebelum menyokong suara yang boleh mengugat keselamatan khususnya di pantai timur Sabah.

"Saya sangat berharap penduduk khususnya di Sabah tidak terpengaruh dan menyokong mereka. Pihak yang tidak bertanggungjawab itu pandai memutar belitkan fakta...namun, mereka tidak pernah memikirkan nasib rakyat khususnya di kawasan pantai timur Sabah yang pernah diceroboh awal tahun lepas.

"Rakyat perlu tahu jika Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia, kesan terhadap keselamatan di Sabah sangat berat. Kita tidak mahu ada pihak cuba menceroboh dan menuntut Sabah seperti sebelum ini, akhirnya keselamatan penduduk di pantai timur Sabah terancam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Semporna di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Shafie yang juga Naib Presiden Umno berharap penduduk di Sabah dan Sarawak diberi penerangan mengenai fakta sejarah penubuhan Malaysia supaya mereka tidak mudah terpangaruh dengan fakta yan diputarbelitkan.
   
"Mereka perlu mengetahui sejarah Sabah dan Sarawak sebelum bergabung dengan Malaya untuk membentuk Malaysia. Pungutan suara dilakukan ke atas semua penduduk pada masa itu dan mereka bersetuju untuk bergabung," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Shafie meminta anggota parti supaya terus memainkan peranan membantu pucuk pimpinan menyelasaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

"Semua anggota di setiap cawangan Umno perlu melakukan pemantauan agar bantuan kerajaan sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi," katanya. - Bernama

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...