Selama 51 tahun, kita diberitahu bahawa Malaysia merdeka pada 31hb Ogos 1957. Itu adalah fakta yang menyeleweng sebab Perjanjian Malaysia yang melibatkan Kerajaan Malaya, UK, Singapura, Sabah dan Sarawak hanya ditandatangani pada 9hb Julai 1963.
Pemashyuran Malaysia sebagai sebuah Persekutuan baru pula telah dibuat dengan rasmi pada 16hb Sept. 1963. Malaysia adalah gabungan 4 wilayah, yang dibentuk bersama secara rakan kongsi sama rata, dan semua wilayah itu pula mengekalkan kemerdekaan masing-masing.
Malaysia bukanlah sebuah negara yang dimerdekakan, tapi sebuah Persekutuan yang dibentuk bersama melalui suatu perjanjian.
Cadangan membentuk Malaysia adalah datangnya dari British dan Malaya. British sebagai penjajah 4 wilayah itu mahu terus mengekalkan kepentingannya di bekas jajahannya. British tidak mahu Singapura jatuh ke tangan komunis, lalu mencadangkan supaya digabungkan dengan Negara Malaya. Bagi Malaya pula, mereka enggan menerima Singapura kerana majoriti penduduknya adalah Cina. Malaya bimbang, kaum Cina akan menguasai Malaya jika hanya Malaya dan Singapura yang bergabung. Berdasarkan ini, Malaya dan British nampak bahawa penyertaan Sabah, Sarawak dan Brunei akan menyelamatkan kaum Melayu di Malaya.
Cadangan pembentukan Malaysia tidak diterima baik di Sabah, Sarawak dan Brunei. Di Sarawak, cadangan ini dibantah oleh banyak tunjuk perasaan secara besar-besaran. Di Brunei, berlaku pemberontakan oleh A.M. Azahari, dan walau pun ia gagal, Brunei kemudiannya tidak jadi untuk menyertai penggabungan. Di Sabah pula, majoriti pemimpin tidak bersetuju. Datuk G.S Sundang umpamanya menentang habis-habisan idea itu. Hasil kaji selidik Suruhanjaya Cobbold juga mendapati, hanya sepertiga rakyat Sabah yang setuju bergabung. Sepertiga yang lain, setuju secara bersyarat dan sepertiga lagi sama sekali tidak bersetuju.
Walau pun berlakunya tentangan, hasil pujuk rayu Malaya, dan hasil persetujuan Malaya ke atas syarat-syarat yang dikemukakan Sabah dan Sarawak, maka terjadi juga penggabungan. Tunku Abd Rahman, dalam proses memujuk, menjanjikan untuk tidak menjajah Sabah, Sabah memerintah sendiri dan penyertaan Sabah kelak adalah rakan kongsi sama taraf dan sama rata dengan Malaya dalam Malaysia. Dengan jaminan itu, pemimpin Sabah seperti Tun Mustapha dan Tun Fuad termakan pujuk. Tun Fuad misalnya, pada mulanya tidak bersetuju menyertai pembentukan Malaysia sebab bimbang, jawatan-jawatan di Sabah diambil orang Malaya dan Sabah akan dijajah Malaya.
Parti-parti politik di Sabah kemudian mengemukakan syarat-syarat untuk menyertai pembentukan Persekutuan Malaysia. Syarat-syarat itulah yang kini dikenali sebagai Perkara 20. Tanpa persetujuan dan penerimaan Perkara 20, maka Sabah akan memerintah sendiri seperti Brunei pada masa kini. P20 kemudian dibahaskan dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). Selepas diluluskan dengan beberapa ubahsuai dan syor tambahan, maka Perjanjian Malaysia pun ditandatangani sebagai tanda lahirnya sebuah Persekutuan yang baru.
Filipina membantah keras pembentukan Malaysia dan mendakwa Sabah sebagai wilayah mereka dan bukannya wilayah Malaya. Menurut Presiden Macapagal, selagi Sabah berada dalam Malaysia, Filipina akan terus menuntut Sabah. Sebaliknya jika rakyat Sabah memilih untuk memerintah sendiri, maka Filipina akan menggugurkan tuntutan mereka ke atas Sabah, sebab itu adalah pilihan penduduk Sabah. Indonesia pula melancarkan kempen 'Ganyang Malaysia' dan menghantar tentera ke sempadan Sabah hingga berlakunya konflik bersenjata dengan pasukan Malaysia dan Australia.
Dengan begitu banyak peristiwa dan liku-liku dalam proses ke arah lahirnya Malaysia, mari bersama sayangi Malaysia. Sayangi Malaysia bermaksud, Malaysia yang ada mesti adalah Malaysia yang adil, yang kita impikan dan harapkan. Semua janji-janji, jaminan, syor dan terutama Perkara 20 hendaklah dilaksana supaya semua orang Sabah merasa bertuah berada dalam Malaysia. Jika janji, jaminan dan syor itu tidak dilaksana, anak-anak muda Sabah akan terus tidak puas hati, dan akhirnya akan menguburkan Malaysia. Sabah akan lahir sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari campur tangan Malaya.
Source: http://ssprakyat.blogspot.com/2015/01/sejarah-pembentukan-malaysia.html
0 comments :
Post a Comment