Wednesday 18 March 2015

4 lelaki ditahan hasut rakyat Sabah, Sarawak keluar Malaysia

Empat lelaki didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 di Kota Kinabalu hari ini kerana membuat pungutan suara mengajak penduduk Sabah dan Sarawak meninggalkan Malaysia, lapor The Star Online.

Pungutan suara itu dikatakan mempunyai kaitan dengan laman web Sabah Sarawak Keluar Malaysia yang menggalakkan kedua-dua negeri Borneo itu meninggalkan persekutuan Malaysia, menurut portal berita berkenaan.

Empat tertuduh itu ialah Azrie Situ, 25, Suleiman Liku Markus Situ, 32, Erick Jack William, 29, dan Joseph Kolis, 29, yang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Dean Wayne Dally.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Hasutan 1948.

Keempat-empat tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dan seorang penjamin serta perlu menyerahkan passport masing-masing.

Menurut portal itu empat tertuduh berkenaan adalah antara 9 yang ditahan pada 1 Februari lalu kerana memiliki bahan menghasut. Mereka dilaporkan mengedarkan risalah mengenai hak Sabah dan petisyen untuk menyokong hak mereka.

Laman Facebook Sabah Sarawak Keluar Malaysia dikendalikan seorang aktivis Sabah, Doris Jones yang kini menetap di London. Laman sosial berkenaan kini mempunyai lebih 32,000 “likes”.

Polis Sabah sudah mengeluarkan waran untuk menahannya tetapi Jones memberitahu media tempatan dia tidak mendengar daripada mana-mana pihak berkuasa atau polis antarabangsa (Interpol) mengenai waran itu.

Pada 13 Mac, polis berkata, mereka sudah menghubungi Jones.

Pungutan suara berkenaan boleh ditakrifkan sebagai menghasut mengikut Akta Hasutan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata bahawa undang-undang itu akan dikekal dan diperkukuhkan.

Perbuatan itu ketika ini memberikan lingkungan luas kepada pihak berkuasa untuk memutuskan takrifan hasutan.

Keempat-empat tertuduh diwakili peguam Arthur Chin.

Sementara itu, sekumpulan kira-kira 100 penyokong  dilapor hadir di depan mahkamah hari ini sebagai tanda sokongan.

Antaranya individu yang hadir ialah bekas Ketua Menteri Datuk Seri Yong Teck Lee, yang kini menyertai pembangkang.

Pungutan suara di kalangan nasionalis Sabah semakin meningkat sejak kebelakangan ini terhadap kesedaran orang ramai mengenai soal kemiskinan, imigresen dan isu politik seperti "Projek IC", satu langkah untuk mengubah demografi dan daftar pemilih di negeri ini dengan mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang. – 16 Mac, 2015.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...