Wednesday 10 June 2015

Hikmah disebalik kejadian Bogel di Puncak Gunung Kinabalu

Disini, ingin pihak SSKM-SSU(UK) mencadangkan dan menyarankan kepada pihak Persatuan-persatuan Etnik yang ada di Negara Sabah untuk menyenaraikan adat budaya dan pantang larangan masing-masing untuk diwartakan sebagai satu Peraturan yang mesti dihormati dan dipatuhi di Negara Sabah. Ia kan berfungsi sebagai perisai dan kekebalan kepada etnik-etnik Orang Asal. 

Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang dan juga Sogit mengikut Makhamah Anak Negeri.

Melalui cara ini, semua adat budaya dan pantang larang etnik masing-masing akan mendapat pengiktirafan daripada semua pihak. Ini juga akan membantu Tourists Guide Sabah untuk memberikan pendidikan dan panduan umum kepada pelancong-pelancong asing dibawah jagaan dan tanggungjawab mereka tentang apa yang boleh dibuat dan tidak boleh dibuat agar perbuatan-perbuatan yang menjadi larangan adat budaya dan pantang larang etnik-etnik di Negara Sabah dihormati dan dipatuhi.

Dengan cara ini juga, ia mampu membendung perbuatan yang menjadi larangan dan pada masa yang sama ia memartabatkan kebudayaan dan adat resam nenek moyang Orang-orang Asal. Tambahan lagi, ia juga akan mampu berfungsi untuk menangkis sebarang cubaan untuk menghilangkan identiti dan keunikan yang sangat istimewa etnik-etnik Negara Sabah.

Perlu diingatkan juga bahawa pengamalan kebudayan dan adat resam perlu mendapat persetujuan bersama dikalangan etnik masing-masing agar ia tidak bertentangan dengan kepercayaan agama (kepada mereka yang memiliki agama).

Lain daerah, lain adat dan budayanya maka kerjasama pelbagai pihak perlu diberikan dalam menjayakan usaha ini demi kebaikan bersama.

Adat dan Kebudayaan ini merupakan identiti yang tidak boleh sesekali dihilangkan kerana jikalau ini berlaku, maka dunia tidak akan mampu mengenali etnik dan kebudayaan anda.

Selain itu, antara adat dan budaya Orang Asal Negara Sabah yang mesti diperkuatkan dan dipertahankan ialah "Pembukaan Tanah Kosong" untuk tujuan penanaman. Bukankah didalam adat dan budaya Orang Asal khususnya KDMR, aktiviti dan kegiatan pembukaan Tanah Kosong ini adalah sebahagian daripadanya? Apabila pembukaan Tanah Kosong ini berlaku, secara langsung, ia akan menjadi milik kepada si Peneroka. 

Dengan itu, kerajaan mahupun syarikat asing tidak boleh sewenang-wenangnya merampas kawasan tanah yang telah diusahakan oleh Orang Asal. Ia perlulah melalui pengadilan Makhamah Anak Negeri Sabah yang bertanggungjawab memberikan pengadilan dalam isu-isu budaya dan adat resam ini. Pampasan yang sewajarnya mesti diberikan jikalau pihak kerajaan berkeras untuk mengambil kawasan yang telah diteroka. Pihak kami yakin bahawa perkara ini sememangnya telah dipraktiskan tetapi sejauh manakah perkara ini mendapat pembelaan secara adil itu yang menjadi persoalan.

Semoga cadangan ringkas ini mampu membantu rakyat dan Kerajaan Negara Sabah khususnya untuk membuat penambahbaikan untuk masa depan agar perbuatan yang tidak senonoh seperti apa yang berlaku di Gunung Kinabalu dapat dielekkan dan nasib Orang Asal mendapat pembelaan sewajarnya mengikut peruntukan Adat dan Budaya yang dipraktiskan di Negara Sabah.

0 comments :

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...