Menelusuri alur sejarah panjang North Borneo/Sabah, memberikan kita semangat dan kekuatan untuk terus berjuang. Ini berdasarkan kepada fakta yang sahih daripada dokumen Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 20 yang turut tercatat dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan semasa proses pembentukan Persekutuan Malaysia dahulu. Malah jika mendengar perisytiharan Malaysia di Padang Merdeka, (Kota Kinabalu), yang diucapkan dalam Bahasa Inggeris, Kadazan dan Cina, jelas sekali disebutkan penggunaan Negara of Sabah. Jadi tidak syak lagi bahawa Sabah adalah sebuah NEGARA MERDEKA yang sama-sama membentuk Persekutuan Malaysia bukannya menyertai Malaysia sebagai sebuah NEGERI yang ke-12 seperti yang tercatit dalam Mykad sekarang ini. Sayang sekali dalam buku-buku sejarah yang diajarkan di sekolah-sekolah awam, MALAYSIA merdeka pada 31 OGOS 1957, sedangkan seluruh dunia tahu bahawa MALAYSIA baru sahaja dibentuk pada 16 SEPTEMBER 1963. Bagaimana pula merdeka sedangkan belum dibentuk?
Jika kita mengambil contoh United Kingdom (UK),misalnya, yang merupakan 'tempat asal' penjajah British yang menjajah kita sedikit masa dulu, maka terdapat kewajaran untuk kita mengatakan bahawa model Persekutuan Malaysia sebenarnya diaspirasikan daripada pembentukan United Kingdom yang diwakili oleh England, Scotland dan Wales dengan Northern Ireland. Bermakna UK yang mengamalkan sistem pemerintahan Constitutional Monarchy mempunyai 4 wilayah utama dengan berpaksikan satu Raja iaitu Queen Elizabeth. Apa yang menariknya, keempat-empat wilayah ini mempunyai kuasa autonomi sendiri. Contoh mudah, semua wilayah ini mewakili negara masing-masing dalam Bola Sepak Piala Dunia tetapi semasa sukan Olimpik, mereka akan bersama dalam UK. (Tajuk Perjanjian Malaysia begini : UNITED KINGDOM OF GREAT BRITAIN AND NOTHERN IRELAND and FEDERATION OF MALAYA, NORTH BORNEO, SARAWAK AND SINGAPORE).
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhcFN1R9uAcmqK0JCNoX47mKzXQ9nnHQtEFhyphenhyphen3EfswtEGvm7o_AVF_ItATBJQw8AiqPomzc5LYDy-nZiuW0gG_-ikN7EdLoOnWZIj9cA2o1l6PYDg3XOLImx3jfZaedlZ84Nl3Rd5EU5sg/s1600/High+Court.jpg)
Apa yang berlaku hari ini, di bawah pimpinan Kerajaan UMNO/BN Sabah dan Sarawak telah diturunkan pangkat sebagai negeri yang sama taraf dengan negeri-negeri dalam Tanah Melayu / Semenanjung Malaysia. Semua kuasa autonomi, bahkan tuntutan sah dalam Perkara 20 juga tidak lagi digunapakai. Sedangkan masih banyak Undang-undang di Sabah yang terpakai sehingga kini, tetap merujuk kepada istilah Yang Dipertua Negara iaitu merujuk kepada Perkara 20, Nombor 18. Ambil contoh Mahkamah Tinggi Sabah, pada 12 September 1968 iaitu LIMA tahun selepas Malaysia dibentuk, seluruh dunia masih mengiktiraf Sabah sebagai sebuah negara apabila plat tanda perasmian bangunan ini masih jelas tertera nama Tun Pengiran Haji Ahmad Rafae Bin Orang Kaya2 Pengiran Haji Omar sebagai Yang Dipertuan Negara of Sabah. Sejak bila pula tiba-tiba jadi Yang Dipertua NEGERI?
Kita mempersoalkan perkara ini, bukan semata-mata gimik berpolitik, bukan juga sekadar untuk meraih sokongan tetapi sekadar menuntut hak yang sewajarnya berdasarkan PERJANJIAN yang SAH. Jika kita terus menerima Sabah sebagai sebuah negeri dalam Malaysia, kesannya ialah, kita bergantung penuh kepada Persekutuan untuk memajukan Sabah, sedangkan banyak polisi seperti Cabotage Policy iaitu polisi perkapalan jelas merencatkan perkembangan ekonomi di Sabah dan Sarawak. Lihat sahaja, mengapa harga komoditi seperti getah, harganya murah berbanding di Semenanjung Malaysia. Apa yang peliknya, banyak barang keperluan di Sabah mahal berbanding di Semenanjung Malaysia atas alasan 'kos pengangkutan' sedangkan kita tahu polisi perdagangan yang berat sebelah inilah yang menjadi penyebabnya. Malah ini juga yang menyebabkan ramai belia di Sabah berhijrah ke Semenanjung Malaysia untuk bekerja kerana pelabur 'terpaksa' melabur di sana akibat polisi ini.
Kebergantungan kepada Persekutuan ini akan menyebabkan Sabah terpaksa 'merelakan' hasil bumi termasuk minyak dan gas 'mengalir' ke Persekutuan sedangkan peruntukan pembangunan untuk Sabah setiap Rancangan Malaysia 5 tahun sangat kecil. Peruntukan ini kecil kerana manipulasi kerusi Parlimen dan juga kerusi Dun. Sabah sebesar 9 buah negeri di SM hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen dan Sarawak yang lebih besar daripada Sabah pula hanya 31 kerusi Parlimen. Kita ambil contoh negeri Perlis (821 km persegi ) berbanding daerah Pitas 1419 km persegi). Secara relatifnya, DAERAH Pitas lebih besar berbanding NEGERI Perlis. Tetapi di Perlis ada 3 kerusi parlimen dan 15 Adun sedangkan Pitas cuma ada seorang Adun dan berkongsi 1 Parlimen dengan Dun yang lain. Sekiranya setiap ADUN diberikan peruntukan RM1juta setahun bermakna Perlis mempunyai DANA sebanyak RM15 juta untuk membangunkan sebuah kawasan yang lebih kecil daripada Pitas yang hanya layak mendapat DANA RM1 juta.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiJ02SJHyrZZUqB-vHiD7PGdmahu8P-g_c421Cz7Ex5xigxfXR3dz0xWMJCX1Ec8SezVBOMp9Owwz39d7xhRjXqfzMcNTbRKj9PlfsVODrLKxKOiXtozyrdMBbbhx-18xZdh4P8afDJVI4/s1600/The+Real+Federation.png)
Maka atas dasar itulah, perjuangan politik di Sabah WAJAR menilai dari sudut HAK-HAK yang empirikal dan tidak hanya bergantung kepada EHSAN. HAK-HAK ini pula bukan ciptaan tetapi jelas termaktub dalam PERJANJIAN yang SAH. Bahkan ia turut disertakan dengan JAMINAN-JAMINAN bahawa Sabah adalah RAKAN KONGSI SAMA TARAF dengan TANAH MELAYU bukannya dengan NEGERI-NEGERI dalam Tanah Melayu. Bagaimana pula menjadi sama taraf jika Bajet Pembangunan juga jelas memperlihatkan jurang perbezaan yang besar? Selagi Sabah dikategorikan sebagai NEGERI selagi itulah rakyat Sabah tidak terbela.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEixBUs7MtjPVFahJJ9PvocVuDUrUdX44oLZRaq8npoXZNP86-b7cnxKXmrAJoCsFTkd-EWDZ8kJnjkO8qOgSz3U6-f_cnED_DlsA5mV7VVZDpeWsvz_NG-G5kaTRONMWFUv4sNP1vDRpGY/s1600/Sabah+Miskin.jpg)
Persoalannya, di manakah asas pihak-pihak tertentu mengatakan perjuangan STAR di Sabah hanya bersifat kenegerian dan berbaur hasutan? Kita hanya menuntut HAK yang jelas dalam sebuah PERJANJIAN yang SAH. Apakah itu salah? 49 tahun telah berlalu tanpa kita menuntut apa-apa dan sepanjang masa itulah nasib kita terus binasa. Apatah lagi dengan pengiktirafan memalukan Bank Dunia pada tahun 2010 sebagai sebuah NEGERI TERMISKIN di Malaysia sedangkan NEGARA Sabah penyumbang kedua terbesar Malaysia dalam sektor minyak. Malah tahun 2011 Persekutuan mengutip 22.7 Biliion Cukai daripada Sabah sedangkan Perkara 20 No 11 jelas mengatakan bahawa North Borneo/Sabah berkuasa penuh ke atas Kewangan/Dana Pembangunan, Cukai dan Tarif-tarif.
Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Sabah, berhentilah menyalahkan pemimpin terdahulu. Marilah kita bangkit hari ini dengan ILMU dan FAKTA yang tepat dan benar untuk menuntut kembali Hak-hak Kemerdekaan Sabah sebagai sebuah Negara Dalam MALAYSIA. Masa depan generasi akan datang ditentukan oleh tindakan kita sekarang. Seperti juga pemimpin terdahulu yang salah langkah, hari ini kita menerima kesannya. Jadi sebagai warganegara Sabah yang CELIK ILMU PENGETAHUAN, apakah kita masih mahu mewarisi kesilapan pemimpin kita yang terdahulu dan membiarkan keadaan hari ini terus diwarisi oleh generasi akan datang. Mungkin lebih teruk lagi dengan kehadiran PTI yang semakin tidak terkawal, anak cucu kita bakal merempat di bumi sendiri kelak.
Dengan perbandingan dan Fakta yang 'dikupas' di atas, TIDAK SALAH jika di SABAH ini mempunyai PERDANA MENTERI sendiri dan bukan hanya TIMBALAN PERDANA MENTERI kan? Untuk itu rakyat Sabah harus memastikan sebarang anasir dari pihak PARTI MALAYA tidak lagi berada di Sabah demi memastikan ACUAN NEGARA SABAH dapat dibentuk dan direalisasikan. BUKAN bermakna kita anti MALAYA tetapi kita tidak mahu sistem yang ada pada hari ini terus digunapakai di Sabah sekalipun Kerajaan Persekutuan bertukar, bahkan pertukaran Kerajaan Persekutuan sememangnya harus disokong tetapi bukan dengan cara yang ada hari ini...
0 comments :
Post a Comment